KANGAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bakal menjalani proses pembangunan semula dalam usaha bagi memperkasakan aspek kawalan khususnya di kawasan sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, IPD berkenaan akan dibangunkan semula di tapak sedia ada dan proses pembinaannya dijangka akan bermula pada tahun hadapan.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara prinsipnya telah mendapat kelulusan bagi melaksanakan proses pembangunan semula IPD tersebut menerusi peruntukan yang diterima daripada kerajaan.
“IPD Padang Besar merupakan antara IPD yang tersenarai untuk dibangunkan semula di tapak sedia ada selepas ini.
“Jadi sama ada kita kekalkan komponen sedia ada atau komponen tambahan seperti bangunan pentadbiran, kuarters anggota dan sebagainya, kita akan uruskan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Kawasan Operasi Ke Markas Taktikal (Martak) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (1) Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga baharu sahaja mendapat pengesahan kelulusan bagi pembangunan semula IPD itu pada minggu lalu.
Tambah beliau, selain IPD Padang Besar, tiga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan bersama beberapa IPD lain akan turut dibangunkan semula selepas ini. – KOSMO! ONLINE