LANGKAWI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan tiada kenaikan harga ayam luar biasa selepas empat hari subsidi dan harga siling makanan asas tersebut dimansuhkan pada Rabu lalu.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya mengadakan pemantauan bagi memastikan harga ayam tidak naik secara mendadak.
“Kita lihat harga ayam di pasar basah yang paling tinggi, tapi walau bagaimanapun yang di pasar basah pun masih terkawal.
“Secara puratanya harga ayam kebangsaan semalam adalah RM8.51, di semenanjung Malaysia RM8.49,” katanya kepada sidang media selepas melakukan pelepasan Program Retail Digitalisation Initiative (ReDI) di Jalan Pantai Tengah, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, harga purata ayam sekilogram (kg) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah lebih tinggi berbanding semenanjung Malaysia kerana harga silingnya sebelum ini juga adalah lebih tinggi.
Sementara itu, Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata tiada aduan mengenai penjualan gula melebihi harga siling atau kekurangan bekalan gula.
“Pada bulan Mei lalu kita telah membawa masuk hampir 70 metrik tan gula ke sini, dan baru-baru ini kita masukkan lagi 70 metrik tan gula ke Langkawi dengan harapan gula ini dapat dibeli pengguna dengan harga RM2.85, harga kawalan kita,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya tidak mendapat aduan mengenai kekurangan bekalan gula atau pun kenaikan harga gula melebihi harga siling dan meminta pengguna untuk melaporkan sebarang penjualan barang kawalan yang melebihi harga siling. – KOSMO! ONLINE