PERKAHWINAN adalah satu rahsia yang sukar diduga sesiapapun.
Begitu juga buat seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Anim apabila dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan bekas teman lelaki sahabat baiknya sendiri.
“Saya sendiri tidak menyangka ditakdirkan untuk bersama dengannya.
“Pada mulanya, saya langsung tiada perasaan kepadanya, tetapi siapa boleh menolak ketentuan Tuhan dan akhirnya kami berdua bertemu jodoh,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.
Anim menjelaskan, sebelum mereka berkahwin suaminya itu memang menjalinkan hubungan percintaan dengan sahabat baiknya itu.
Namun, tiada jodoh antara mereka apabila rakan baiknya itu mengambil keputusan memutuskan hubungan tersebut setelah rakannya itu memilih lelaki lain yang lebih stabil kewangannya ketika itu dan mengambil keputusan untuk berkahwin. Rakannya itu kemudian meninggalkan kampung.
“Setelah mereka berdua putus, saya sering menjadi tempat untuk lelaki itu meluahkan perasaan dan dia sering menghubungi saya. Pada mulanya, saya malas ingin melayannya tetapi disebabkan kasihan saya menjadi pendengar yang setia,” jelasnya.
Entah bagaimana sejak itu mereka berdua pula menjadi semakin rapat dan sering berhubung antara satu sama lain.
Anim mengakui pada ketika itu dia masih belum mempunyai teman lelaki dan terdetik dihatinya untuk menjalinkan hubungan percintaan.
Akhirnya dia tidak boleh menolak perasaan ‘cinta’ apabila lelaki tersebut menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan yang serius dengannya.
“Saya bertanya kepadanya adakah dia betul-betul cintakan saya atau sekadar untuk hilangkan rasa kecewa setelah ditinggalkan sahabat saya.
“Dia menyatakan benar-benar ikhlas untuk bersama saya dan bersedia untuk menjalinkan hubungan halal bersama saya,” terangnya.
Setelah hampir setahun menjalinkan percintaan akhirnya mereka berdua berkahwin.
Sepanjang percintaan, sahabat baik Anim langsung tidak mengetahuinya.
Sahabatnya itu terkejut apabila mendengar Anim dan bekas teman lelakinya itu akan berkahwin, tetapi dia mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan buat mereka berdua.
Anim bahagia sekali dengan perkahwinan tersebut dan suaminya melayaninya dengan cukup baik.
Rezeki berkahwin, perniagaan yang diusahakan suaminya semakin maju dan mereka hidup senang.
Sepanjang lebih dua tahun bersama, hidup Anim dan suaminya amat bahagia meskipun belum dikurniakan zuriat.
Namun begitu, setelah lama tidak bertemu antara satu lain, rakan baiknya itu tiba-tiba kembali berhubung dengan Anim dan menceritakan bahawa dia telah berpisah dengan suaminya.
“Rakan saya itu menceritakan nasib yang dialaminya dan sebagai rakan saya hanya mampu mendengar dan mendoakan yang terbaik buatnya.
“Dia juga menyatakan bahawa akan pulang ke kampung untuk kembali tinggal bersama orang tuanya,” jelasnya.
Mendengar perkhabaran itu, Anim mula risau dan takut sahabatnya itu akan kembali berhubung dengan suaminya dan mereka kembali menjalinkan hubungan dalam diam.
Setelah pulang ke kampung, rakannya itu menyatakan ingin mengunjungi rumah Anim memandangkan mereka sudah lama tidak bertemu.
Anim menjadi serba salah dan akhirnya mengundang rakannya itu ke rumahnya untuk berbual panjang.
“Saya tidak beritahu suami bahawa rakan saya merangkap bekas teman wanitanya itu akan datang ke rumah kami.
“Kebetulan ketika rakan saya datang, suami saya pulang dan daripada pandangan mata mereka berdua saya seakan dapat rasakan sesuatu,” terangnya.
Tambahnya, selepas itu dia juga dapati suaminya itu sering habiskan masa dengan telefon pintar di rumah berbanding dirinya, kadangkala tersenyum sendirian umpama orang yang sedang bercinta.
Masa berganti masa dan akhirnya semuanya kebenaran seakan datang sendiri apabila dia mendapati suaminya itu menjalinkan hubungan dengan sahabatnya itu.
“Saya jumpa satu telefon pintar lain di dalam kereta suami saya dan saya cuba membukanya dengan menggunakan beberapa kombinasi kata laluan yang saya tahu suami saya sering guna.
“Alangkah terkejutnya saya apabila dapati ada perbualan mesra antara suami dan sahabat saya. Bukan itu saja dalam galeri turut ada gambar mesra mereka berdua,” terangnya.
Akhirnya dalam keadaan marah dan kecewa Anim meminta penjelasan suaminya itu. Dengan bukti yang ada itu, suaminya tidak dapat berbohong dan mengakui bahawa dia masih menyimpan perasaan sayang kepada sahabatnya itu dan mereka kembali menjalinkan hubungan.
Anim kecewa dan sahabatnya juga terpaksa berterus terang kepada Anim tentang hubungan tersebut apabila semuanya telah terbongkar.
“Saya rasa seperti ditikam dari belakang oleh orang-orang yang saya percaya dan apa yang terdetik di hati saya itu memang benar-benar berlaku.
“Suami saya menyatakan dia tekad dengan keputusannya untuk menjadikan sahabat saya itu sebagai isteri yang sah. Malah, dia juga memberi pilihan kepada saya sama ada ingin hidup bermadu atau bawa haluan sendiri,” terangnya.
Setelah berfikir panjang, Anim ambil keputusan untuk dilepaskan.
Dia percaya yang suaminya itu sebenarnya menyayangi sahabatnya itu lebih daripada dirinya. Ini kerana sahabatnya itu adalah cinta pertama suaminya sebelum ini.
Akhirnya mereka berdua berpisah di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung.