MELAKA – Bapa kepada bayi lelaki 12 bulan, Muhammad Noah yang mengalami pendarahan di kepala selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Pertam Jaya, di sini memohon agar orang ramai dapat mendoakan kesihatan anaknya yang masih koma.
Muhammad Azizan Mohd. Sahat, 31, berkata, anak keduanya itu ditidurkan selepas menjalani satu pembedahan di kepala di Hospital Melaka pada Selasa lalu.
“Saya dan isteri Nurul Fatihah Mohd. Fauzi, 30, mohon semua (orang ramai) dapat mendoakan semoga ada keajaiban dari Allah SWT supaya anak lelaki saya, Muhammad Noah yang kini koma kembali sihat seperti biasa.
“Kejadian ini amat mengejutkan, namun saya serahkannya kepada pihak polis untuk lakukan siasatan sama ada benar anak saya diabaikan pengasuh atau ada punca lain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya lagi, dia dan isteri bagaimanapun enggan memikirkan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pusat jagaan itu kerana tumpuan kini diberikan sepenuhnya kepada kesihatan bayi mereka.
“Saya dan isteri reda dengan ketentuan ini. Fokus kami sekarang yang mahu melihat Muhammad Noah sedar.
“Bayi kami sebelum ini sihat, tiba-tiba jadi begini, setiap hari saya tak putus-putus mendoakan Muhammad Noah segera pulih dan berharap semua dapat mendoakannya,” ujarnya.
Tambahnya, Muhammad Noah mempunyai seorang kakak berusia tujuh tahun.
Kosmo! pada Rabu lalu melaporkan, seorang bayi lelaki berusia setahun tidak sedarkan diri selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini.
Bapa mangsa kemudian dimaklumkan mengenai keadaan anaknya itu kira-kira pukul 9.30 pagi oleh pihak taska yang mendakwa menyedari kejadian itu ketika ingin memakaikannya pakaian.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan disahkan mengalami pendarahan di kepala.
Bayi lelaki itu sebelum ini dikatakan turut pernah mengalami kecederaan lebam pada pipi kanan dan dahi sebelah kiri selepas dihantar je pusat jagaan sama.
Susulan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri turut membuat siasatan dan menyita premis tersebut selepas mendapati ia beroperasi secara tidak sah kerana tidak didaftarkan mengikut alamat baharu premis selepas berpindah dari lokasi lama. – KOSMO! ONLINE