PETALING JAYA – Tidak berdiam melihat rakan baik juga aktres Uqasha Senrose berdepan buli media sosial dituduh sebagai punca kematian seorang wanita, pelakon Fathia Latiff tampil memberi amaran buat si penyebar fitnah.
Katanya, dia boleh saja mendedahkan wajah individu penyebar fitnah tersebut selain mengingatkan tindakan si pelaku yang berpotensi berdepan saman.
“Sis (awak) yang tuduh Uqasha, jangan sampai awak yang kena ‘accuse of defamation’ (tuduhan fitnah) ya, takut awak yang kena.
“Jangan sampai saya dedahkan wajah awak, jangan rasa awak boleh serang orang lain.
“Nak cuba ‘gaslighting) (mengapi-apikan) ke sis?,” katanya dalam sesi siaran langsung Instagraml.
Pelakon Ariana Rose itu turut berkongsi semula rakaman siaran langsung Uqasha yang meluahkan kekesalan atas tuduhan seorang individu mengaitkan dirinya sebagai punca kematian wanita yang mendakwa dibuli ketika zaman persekolahan.
Uqasha dalam perkongsiannya semalam menegaskan cuba memaafkan wanita yang sudah meninggal dunia itu ketika kes mahkamah sedang berjalan, namun terkilan apabila namanya masih dikaitkan sebagai punca kematian wanita terbabit.
Terdahulu, seorang pengguna laman X mendedahkan rakannya yang pernah menjadi mangsa buli Uqasha ketika zaman persekolahan sudah meninggal dunia pada 31 Oktober lalu.
Susulan pemergian rakannya yang hanya dikenali sebagai Atikah Zawani itu, individu terbabit mendakwa si mati berdepan tekanan dan sakit teruk seolah-olah disebabkan perbuatan Uqasha.
Malah, menerusi ciapan X, dia turut berharap isteri kepada Kamal Adli itu mendapat pembalasan perbuatannya di Padang Mahsyar nanti.
Sebelum ini Uqasha atau nama sebenatrnya, Zik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, mengambil tindakan undang-undang bagi menafikan satu tuduhan buli ke atasnya namun defendan tidak hadir ke mahkamah. – KOSMO! ONLINE