fbpx

9,000 unit rumah ditawarkan di Pameran Expo Rumah BPEX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Borhan (dua dari kanan) ketika merasmikan Pameran Expo Rumah BPEX.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,000 unit rumah bernilai RM5 bilion di sekitar Lembah Klang ditawarkan di Pameran Expo Rumah BPEX yang berlangsung hari ini dan esok.

Dengan tema ‘Seronoknya Ada Rumah’, pameran kali ini menampilkan perumahan mampu milik di kawasan bandar, sederhana dan elit.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, pameran itu juga merupakan satu platform untuk pemaju di sekitar Lembah Klang mempromosikan unit Bumi Kuota yang masih belum terjual.

“Kerajaan negeri Selangor sentiasa memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pihak atau syarikat yang ingin bekerjasama dan sama-sama membawa aspirasi kerajaan dalam memberikan info-info terkini mengenai pembangunan perumahan dan peluang memiliki projek-projek baru yang sesuai diduduki mengikut bajet masing-masing.

“Rakyat juga harus sentiasa peka dengan perkembangan hartanah terkini, projek-projek baharu yang dilancarkan supaya peluang memiliki rumah dengan harga mampu milik tidak terlepas,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian expo tersebut di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC), di sini hari ini.

Sementara itu, Borhan berkata, Lot Kuota Bumi adalah syarat dalam pembangunan dan seharusnya pemaju perlu bersungguh-sungguh untuk mempromosikan dan pemaju yang berusaha menjualnya harus ditimbang untuk diberikan pelepasan.

“Kita sedar bahawa ada pemaju yang serius menghadapi masalah dalam penjualan unit bumi kuota, dengan itu masalah yang dihadapi tidak boleh dengan mudah diselesaikan dengan memohon pelepasan tetapi mekanisma bijak yang harus difikirkan bersama seperti duti setem percuma untuk semua jenis hartanah lot kuota bumi.

“Program Pemilikan Rumah (Hope) di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (I-Miliki), Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) diharap dapat membantu kaum Bumiputera memiliki rumah dengan lebih mudah terutama yang mencari rumah pertama yang tiada slip gaji dan tiada pendapatan tetap,” ujarnya.

Dalam pada itu, pameran berkenaan yang berlangsung hingga 9 malam esok turut mengadakan perkongsian tip beli rumah serta pelaburan hartanah bagi memberi peluang kepada kaum Bumiputera untuk menjadi celik hartanah.

BPEX turut berkolaborasi bersama Koperasi Bandaraya Maju Berhad bagi membantu pemohon atau pembeli rumah yang bermasalah dengan kad kredit mereka bagi membeli rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI