PETALING JAYA – Sebuah lori tangki terlibat kemalangan di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), di Kilometer (km) 22.1 arah utara dari Kota Damansara ke Sungai Buloh, petang ini.
Menerusi kenyataan di Twitter Plustrafik, kemalangan yang turut melibatkan sebuah kereta itu menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang 7 km.
Keadaan lori tangki terlibat yang melintang telah menutup lorong tengah dan kanan jalan menyebabkan kenderaan sukar melepasinya.
“Lorong tengah, lorong kanan terhalang. Trafik sesak 7 km. Sila rancang perjalanan anda dan pandu berhati-hati.
“Patuhi arahan pengawal dan papan tanda trafik di lokasi. Pastikan semua langkah berjaga-jaga diambil dan gunakan laluan alternatif di lokasi demi keselamatan bersama,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE