fbpx

[VIDEO] Ini ‘rumah’ baru ibu dengan abi, Awi, Fatimah, Seri, Rufaidah – Dollah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDULLAH ditenangkan ahli keluarganya ketika menziarahi pusara ibu, bapa serta empat beradik di Tanah Perkuburan Islam Parit Limbong, Muar petang semalam.

MUAR – Setelah genap dua bulan kehilangan insan tersayang dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, Abdullah Amir Ruddin akhirnya ‘bertemu’ ibu, bapa serta empat adik- beradiknya, semalam.

‘Pertemuan’ Abdullah, 15, dengan ibu bapanya, Allahyarhamah Norahimah Noor Mohammad dan Allahyarham Amir Ruddin Ismail serta Fatimatulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, Rufaidatul Asyariyah, dan Muhammad Assyakrawi di dua alam yang berbeza.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik ibu saudaranya, Nora Hila, 38, di laman sosial TikTok, Abdullah menangis teresak-esak sejurus menziarahi pusara enam sekeluarga itu di Tanah Perkuburan Islam Parit Limbong di sini kira-kira pukul 5 petang.

“Ini rumah baru ibu dengan abi, Awi, kak Fatimah, Seri, Rufaidah,” luah Abdullah dengan nada sebak sambil menyapu air matanya.

Nora Hila berkata, dia bersama abang sulungnya, Mohd Khairul, 54, dan Abdurrahman, 19, (abang Abdullah) serta ahli keluarga yang lain membawa dan menemani Abdullah untuk ‘melepaskan’ rindu kepada mereka yang telah dijemput Ilahi dalam kemalangan 1 September lalu.

“Dollah (Abdullah) memang seorang anak yang kuat, dia memang tahu ibu abi sudah tiada, sebab itu dia menangis teresak-esak, nampak dia kuat, abang Abdurrahman lagi kuat sebab boleh senyum lagi.

“Ini permintaan dia sendiri nak tengok kubur ibu abi serta adik-beradiknya, kami pun sudah berjanji dengan dia, jika Dollah boleh jalan, kami akan bawa dia lagi ziarah pusara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.37 petang Jumaat 1 September lalu, ibu dan bapa serta empat adik-baradiknya meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza bertembung dengan treler membawa muatan pasir.

Nahas berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak, Segamat untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Abdullah yang mengalami kecederaan parah pada tangan dan kepala dikejarkan ke Hospital Segamat namun kembali pulih selepas hampir 20 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Manakala Abdurrahman pada hari kejadian tidak berkesempatan untuk mengikuti ahli keluarganya kerana atas tuntutan kerja sebagai bilal di Surau Ladang Selai, Kluang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI