fbpx

Tol percuma 30 hari bagi pengguna Lebuh Raya SPE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tiga kiri) ketika merasmikan Lebuh Raya SPE di Plaza Tol Chan Sow Lin hari ini. Foto oleh SYAKIR/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuh Raya Setiawangsa Pantai (SPE) yang dibuka kepada semua pengguna bermula pukul 11:59 malam ini bakal menikmati tol percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu adalah sempena pembukaan lebuh raya berkenaan sekali gus memberi pengguna akses untuk menggunakan laluan tersebut.

“Orang ramai yang menggunakan lebuh raya dari Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara)  akan mendapat tol percuma selama 30 hari,” katanya ketika merasmikan pembukaan sepenuhnya Lebuh Raya SPE di Plaza Tol Chan Sow Lin, di sini hari ini.

Selain itu kata beliau, pembinaan Lebuh Raya SPE turut menerapkan elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Tambahnya, komitmen projek pembinaan lebuh raya menerapkan elemen kelestarian terbukti apabila Lebuh Raya SPE mendapat Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi ‘Sustainable Infrastar’ oleh pihak CIDB semasa Hari Penganugerahan Safety & Health, Environment and Quality atau SHEQ 2022.

“Pembinaan Lebuh Raya SPE telah mengambil kira faktor alam sekitar dengan mengamalkan teknologi hijau dalam pembinaannya apabila solar panel telah dipasang di setiap plaza tol.

“Malah, penghadang bunyi telah dipasang bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling,” jelasnya.

Lebuh Raya SPE merupakan antara projek berimpak tinggi bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI