TERENGGANU FC (TFC) enggan dianggap sebagai pasukan pilihan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, kelebihan satu gol dibawa hasil kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Cheras, 21 Oktober lalu masih belum mencukupi buat skuad Penyu berasa selesa.
Jurulatih berusia 57 tahun itu juga berkata, beliau bersedia menghadapi kemungkinan perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan atau penentuan penalti.
“Mungkin ini perlawanan terbesar kami bagi musim ini. Apa pun, jaringan KL City dalam masa kecederaan pada aksi separuh akhir pertama bulan lalu telah menghidupkan peluang mereka.
“Saingan masih terbuka dan kami harus berhati-hati dengan kelibat Paulo Josue, Romel Morales serta Tchetche terutama dalam situasi bola mati. Hanya sedikit kelekaan boleh menyebabkan kita berputih mata,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.
Steinbruckner berkata, anak-anak buahnya perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dengan tidak melakukan kesilapan mudah bagi merealisasikan impian mara ke pentas akhir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Perak.
Tambah beliau, berdasarkan rekod empat pertemuan musim ini menyaksikan tiga keputusan seri dan satu kemenangan memihak skuad Sang Penyu.
“Saya harap pemain-pemain dapat memberi persembahan terbaik untuk bergelar finalis,” katanya.
Steinbruckner memberitahu, perancangan TFC agak terjejas apabila terpaksa melupakan perancang tengah, Nurillo Tukhtasinov yang digantung perlawanan gara-gara kutipan kad kuning.
Jelas beliau, situasi itu jelas merisaukannya selain masalah kecergasan beberapa tonggak lain termasuk bek tengah, Shahrul Nizam Roshasni dan Sardor Kulmatov.