fbpx

Sembunyi rokok seludup dalam bungkusan mi segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamisan (tengah) menunjukkan rampasan rokok seludup yang disembunyi dalam bungkusan mi segera pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM di Bagan Jermal, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar cubaan menyeludup rokok dalam sebuah kontena muatan bungkusan mi segera dengan nilai termasuk cukai lebih RM4.1 juta di Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Oktober lalu.

Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata, kejayaan itu susulan pemeriksaan sepasukan anggota di Bahagian Penguatkuasaan negeri bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM kira-kira pukul 3.15 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi, pihaknya menemui 1,832 kotak bertanda ‘Instant Noodles’ yang mengandungi rokok putih disyaki tidak berkastam yang dicampur bersama dagangan mi segera.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai mi sup dan disorokkan dalam kotak bertanda mi segera.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 5,771,520 juta batang rokok melibatkan nilai anggaran RM461,721.60 dan cukai berjumlah RM3,698,390.02 berjaya dirampas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan syarikat penghantaran dan logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

“Menerusi dokumen yang diperolehi, dagangan ini disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Barat dan dipercayai untuk jualan pasaran tempatan. Susulan itu, seorang pengarah syarikat penghantaran dan logistik yang berusia 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati, lelaki terbabit tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan dibebaskan atas jaminan selepas keterangannya selesai dirakamkan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) dan Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksesais 1976. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI