fbpx

Salah faham arahan beli ubatan farmasi komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang lelaki berhubung diarah beli ubat bagi anaknya selepas menerima rawatan di klinik kesihatan Kajang.

SHAH ALAM – Salah faham dikenalpasti menjadi punca seorang lelaki mendakwa anaknya diarahkan membeli ubatan dari farmasi komuniti sehingga tular, baru-baru.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 2 petang, Selasa lalu selepas seorang remaja berusia 16 tahun hadir ke Klinik Kesihatan Kajang.

Katanya, remaja itu yang hanya ditemani adik lelakinya telah dirawat seorang pegawai perubatan di klinik tersebut.

“Pesakit (remaja lelaki itu) mengadu bahawa dia mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan yang meliputi batuk dan sakit tekak.

“Pegawai perubatan memberi slip preskripsi dan meminta pesakit untuk mendapatkan ubat di unit farmasi, klinik kesihatan yang sama selepas pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, pesakit itu kemudianya meminta ubat tambahan bagi meredakan gejala sakit tekak yang dialaminya.

Bagaimanapun katanya, pegawai perubatan yang merawat memaklumkan untuk mendapatkannya dari mana-mana farmasi komuniti yang berdekatan.

Ini selepas mengambil kira ubat tambahan tersebut tidak dibekalkan oleh klinik kesihatan kerana tidak disenaraikan dalam Formulari Ubat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sejurus itu, pesakit terus keluar tanpa mengambil ubat dari unit farmasi klinik berkenaan. Sebaliknya, terus memaklumkan kepada bapanya yang menunggu di luar klinik untuk membeli ubat.

“Tiada pengesahan kepada pegawai perubatan yang merawat dibuat oleh bapa remaja itu susulan daripada maklumat yang diberikan oleh anaknya itu,” katanya.

Jelas Sha’ari, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menerangkan kejadian yang berlaku kepada pengadu di rumahnya, kelmarin.

“Kejadian ini dikenal pasti berpunca daripada salah faham ke atas maklumat yang disampaikan kepada pesakit.

“Ibu bapa atau penjaga diingatkan agar hadir bersama anak-anak mereka yang berumur di bawah umur 18 tahun ketika mendapatkan rawatan. Ini bagi memastikan segala maklumat mengenai rawatan dapat diterangkan kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit empat saat memaparkan ketidakpuasan seorang lelaki terhadap pembelian ubatan bagi anaknya di hadapan klinik kesihatan Kajang sambil memegang slip preskripsi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI