MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag tanpa berselindung mengakui pasukan itu berada dalam situasi sukar selepas tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini.
Pada aksi pusingan keempat yang berlangsung di Old Trafford awal pagi semalam, skuad The Red Devils mendapat pengajaran berguna apabila tewas 0-3 kepada satu lagi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United.
Ten Hag berkata, walaupun mereka berada dalam situasi sukar, namun ia tidak menjadi penghalang untuk beliau mengembalikan maruah United kerana menganggap dirinya sebagai seorang pejuang.
“Saya seorang pejuang, jadi saya sangat faham apabila keputusan tidak memihak kepada kami, namun ia dianggap sebagai proses. Bagaimanapun, saya yakin saya boleh membantu pasukan untuk kembali ke prestasi sebenar.
“Saya pernah berdepan keadaan seperti ini di semua kelab dan dapat lakukannya dengan baik. Secara jujur, saya mengakui bahawa United berada dalam situasi cukup sukar pada ketika ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, Newcastle yang berada pada prestasi terbaik ketika ini berjaya menjaringkan tiga gol menerusi Miguel Almiron, Lewis Hall dan Joe Willock, sekali gus membawa mereka ke suku akhir.
“Ini adalah aksi di bawah standard sebenar United dan memang tidak bagus. Saya ambil tanggungjawab atas kekalahan ini dan tidak ada cara lain selain meningkatkan tahap permainan pasukan,” tambah Ten Hag. – AGENSI