PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 sahaja yang akan dipanggil ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tahun hadapan.
Mindef dalam satu kenyataan berkata, kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baru selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.
“Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.
“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.
“Mindef berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pelaksanaan semula PLKN yang dimansuhkan pada tahun 2018 membabitkan dua fasa. – KOSMO! ONLINE