KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) gah mara ke pentas akhir Piala Malaysia setelah berjaya menewaskan KL City FC dengan agregat 4-2.
Penyerang import, Ivan Mamut muncul wira apabila meledak dua gol bagi membolehkan skuad Sang Penyu mengatasi KL City 2-1 pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu bakal membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pentas akhir 9 Disember depan.
TFC pada mulanya mengatur gerak dan gol dicari-cari akhirnya menjelma minit ke-42 selepas Mamut bijak membuat pusingan melepasi kawalan pemain lawan dan melakukan sepakan leret menewaskan Mendoza.
Bersambung babak kedua, skuad Penyu dikejutkan gol penyamaan KL City menyaksikan tandukan Romel Morales minit ke-51 berpunca hantaran Haqimi Azim Rosli mudah menemui sasaran.
Kedudukan berubah lagi pada minit ke-67 menyaksikan rembatan lencong Mamut dari dalam kotak penalti membawa TFC kembali memimpin permainan untuk mendahului 2-1 menuju penghujung aksi.
Kejayaan lolos ke pentas akhir Piala Malaysia merupakan kali pertama buat TFC sejak 2018. – KOSMO! ONLINE