KUALA LUMPUR – Seorang peguam dicekup selepas memperdaya anak guamnya sebanyak RM2.7 juta dalam menguruskan pembelian tanah seluas 30 ekar di Gombak, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu berusia 40 tahun, merupakan peniaga telah ditipu dalam urusan pembelian sebidang tanah kosong seluas 30 ekar di Gombak, Selangor.
“Suspek yang menguruskan urusan jual beli tanah tersebut memperdaya mangsa untuk menyerahkan bayaran sebanyak RM2.7 juta secara berperingkat kepada firma guamannya.
“Setelah pembayaran selesai, mangsa mendapati tanah tersebut masih di atas nama pemilik asal,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, Ramli memberitahu bahawa pihaknya menerima sebanyak 41 laporan berhubung penipuan langganan prabayar telco melibatkan nilai kerugian sebanyak RM26,265.51 sejak 1 hingga 30 Oktober lalu.
Dalam kes ini, mangsa menerima panggilan dari pekerja telco yang menawarkan pakej langganan prabayar percuma selama tiga bulan beserta hadiah wang tunai.
“Sekiranya berminat dengan pakej ditawarkan, mangsa diminta untuk menekan pautan melalui Mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp dan mengikuti semua arahan diberikan termasuk ‘one time’ password (OTP).
“Prosedur sedemikian perlu dilakukan atas alasan bagi pengesahan hadiah. Setelah memberikan nombor OTP, mangsa mendapati wang dari akaun mereka berkurangan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE