KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) komited untuk mengangkat seni kraf Malaysia menerusi Pasareka 2023 yang berlangsung di Kompleks Kraf, di sini bermula 1 hingga 5 November (Ahad) ini.
Acara edisi ke-6 itu yang dianjurkan bersama Institut Kraf Negara (IKN) menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk lebih 50 pempamer bagi menyuntik pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, Pasareka 2023 merupakan program khusus yang mengetengahkan penghasilan dan keseluruhan industi kraf di Malaysia.
“Platform ini adalah perkongsian ilmu antara pereka Kraftangan Malaysia bersama usahawan kraf serta penggiat seni kreatif lain yang terlibat dalam produk kraf tangan.
“Jadi, melalui program ini, kita dapat libatkan pengunjung untuk merasai pengalaman bagaimana sesuatu produk kraf dihasilkan selain melihat cara-cara penggunaannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Halim berkata, antara keunikan di Pasareka 2023 ini adalah ‘Projek Camca’ serta pameran khas menampilkan produk pelajar, pereka, alumni dan tenaga pengajar Institut Kraf Negara (IKN) serta Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.
“Selain itu, kita juga bawakan pameran produk tiga Tokoh Kraf Negara dan lapan Adiguru Kraf daripada pelbagai bidang iaitu kraf songket, ukiran kayu, rotan, mengkuang, patung Mah Meri, batik terap, tembaga dan tembikar sayong.
“Bagi Projek Camca pula, ia merupakan kelainan yang cuba kita tampilkan tahun ini dengan memberikan demonstrasi menggunakan produk kraf dalam masakan.
“Secara tak langsung, kita boleh bercerita kepada generasi muda bahawa produk kraf boleh digunakan dalam kehidupan seharian dan bukan hanya setakat menjadi perhiasan,” ujarnya.
Justeru, Halim berkata, keseluruhan Pasareka 2023 ini bakal membawa pengunjung dan graduan IKN menerokai industri kraf daripada sudut perspektif moden, namun masih kekalkan ciri-ciri seni dan budaya tradisional.
“Sempena program ini, kita juga akan mengadakan Istiadat Konvokesyen IKN ke-21 bagi meraikan graduan yang telah tamat pengajian sijil dan diploma. Selain itu, dapat memberi pendedahan kepada pengunjung melihat pameran produk pelajar IKN.
“Inilah sasaran kita melalui graduan IKN sama ada mereka berkecimpung dalam kraf itu sendiri sebagai usahawan atau menjadi seorang pereka dalam kerajaan mahupun swasta. Kita nak tunjuk bahawa industri kraf ini luas dan mampu menjadi platform bagi melahirkan tenaga mahir,” jelasnya.
Tambah Halim, beliau yang menyasarkan lebih 4,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat umur sepanjang lima hari program itu berlangsung berharap, agar Pasareka 2023 dapat memberikan pengisian bermakna kepada masyarakat.
“Saya yakin pengunjung akan dapat merasai bagaimana sesuatu produk itu dihasilkan. Selalunya kita akan lihat di pameran atau galeri tetapi kali ni, kita dapat pegang dan rasai. Pasareka 2023 membolehkan mereka berinteraksi secara fizikal dengan pereka, usahawan malah turut serta dalam proses pembuatan.
“Justeru, kami di Kraftangan Malaysia menjemput semua pengunjung merasai melalui ekspresi bakat-bakat termasuk pengusaha-pengusaha kraf sama ada yang baharu atau lama tentang warisan kita ini kerana ia adalah industri yang berpotensi besar,” katanya.
Pasareka 2023 yang turut menampilkan pakej interaktif kraf buat pengunjung dan persembahan kesenian serta boleh dilawati secara percuma mulai pukul 10 pagi sehingga 6 petang. -KOSMO! ONLINE