fbpx

MyAQSA kemuka bukti kekejaman Israel kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukman Sheriff pada sidang akhbar di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh MOHD. FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Yayasan MyAQSA (MyAQSA) akan mengemukakan bukti-bukti berhubung kekejaman dan jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam tempoh bulan ini.

Pasukan undang-undang MyAQSA, Lukman Sheriff Alias berkata, pihaknya telah melakukan proses siasatan bagi mendapatkan bukti-bukti tersebut termasuk menemu bual penduduk Palestin selain mengambil gambar dan mendapatkan bukti lanjut di sana pada 2019.

Menurutnya, pihaknya turut bekerjasama dengan kerajaan Palestin serta Kedutaan Palestin di Malaysia bagi mengumpul bukti-bukti berhubung kekejaman dan jenayah rejim Zionis Israel.

“Pasukan undang-undang kami akan bertemu secara peribadi dengan pendakwa raya ICC di The Hague, Belanda berhubung penyediaan dan persiapan terhadap bukti-bukti itu, dengan harapan satu tindakan segera dapat diambil terhadap rejim Zionis Israel.

“Pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh rejim Zionis Israel adalah jenayah terang-terangan terhadap pembersihan kaum, jenayah menindas kemanusiaan serta jenayah perang yang mana ia di bawah bidang kuasa ICC serta Statut Rom,” katanya pada sidang akhbar di Kedutaan Palestin di Malaysia di sini, hari ini.

Lukman Sheriff berkata, mana-mana pihak boleh mengemukakan bukti kepada ICC kerana mereka menyediakan platform bagi perkara tersebut yang membolehkan ia dibuat secara terbuka.

“Sehubungan itu, MyAQSA menggesa pendakwa raya ICC untuk menggunakan kuasa mereka mengikut klausa tertentu dalam mengambil tindakan terhadap Israel berdasarkan laporan dan bukti yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, MyAQSA kekal komited untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan akauntabiliti kepada rakyat Palestin.

“Kita akan terus bekerja tanpa lelah dalam memastikan suara-suara mereka yang ditindas ini didengari sekali gus keadilan dapat ditegakkan, manakala jenayah perang dan jenayah menindas kemanusiaan ini dibawa ke pengadilan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI