JEMPOL – Seorang pemandu van maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lori tangki muatan simen di kilometer 15, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu mangsa, S. Suganeshwaran, 26, beralamat di Ladang Karmen Mengkarak, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu van yang dipandu mangsa dan lori tangki muatan simen dipandu lelaki berusia 42 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat semasa lori muatan simen dari arah kampung Lonek Bahau hendak ke arah Simpang Pertang.
“Apabila lampu isyarat bertukar hijau, lori berkenaan meneruskan perjalanan untuk ke arah Simpang Pertang dan secara tiba-tiba datang van dari arah kanan melanggar lori itu di bahagian tengah sisi kanan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Jelas Chang Hook lagi, akibat perlanggaran itu pemandu van mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat.
Menurutnya, punca kemalangan dipercayai disebabkan pemandu van melanggar lampu isyarat merah.
“Rakaman dashcam lori tangki telah diperolehi dan mendapati lori telah berhenti terlebih dahulu sebelum lampu isyarat bertukar hijau. Pemandu sudah diambil air kencing untuk ujian urin dan keputusan negatif.
“Sample darah pemandu van pula akan dibawa ke Jabatan Kimia untuk ujian toksikologi. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE