MILAN – Rancangan Real Madrid untuk menyambar khidmat Lautaro Martinez boleh dikatakan tidak berhasil selepas penyerang Argentina itu mahu kekal bersama Inter Milan dan bersedia menandatangani kontrak jangka panjang baharu bersama The Nerazzurri.
Ejen Martinez, Alejandro Camano mengesahkan bahawa bintang utamanya berhasrat untuk kekal bersama Inter Milan selepas kini menjadi bintang utama Simone Inzaghi dengan meledak 11 gol dalam 10 perlawanan Serie A.
Aksi cemerlang tersebut membolehkan Martinez bakal meraih pendapatan tertinggi dalam skuad itu dan difahamkan kontrak pemain berusia 26 tahun itu akan berakhir pada Julai 2024.
“Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Nerazzurri dan kami bercakap tentang lanjutan kontrak Martinez.
“Inter mahu memperbaharui kontrak Lautaro dan kami ingin melanjutkan. Tidak akan ada masalah. Kita akan berjumpa dalam beberapa hari atau minggu akan datang.
“Buat masa ini tiada sebarang perjanjian dibuat dan kami perlu mencapai persetujuan dengan Inter Milan. Tetapi yang penting ialah terdapat kesediaan kedua-dua pihak untuk duduk dan membincangkan pembaharuan kontrak baharu itu.”
Berkenaan soal perbincangan gaji, Camano yakin akan terdapat peningkatan kerana pemainnya itu adalah bintang utama dalam skuad tersebut.
“Kami bercakap tentang pemain yang sangat penting untuk Inter Milan. Ia bukan soal wang semata-mata tetapi Martinez mempunyai perasaan yang baik bersama pasukan ini dan juga para peminatnya,” katanya. – AGENSI