KUALA LUMPUR – Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE) yang dibuka kepada semua pengguna bermula pukul 11:59 malam ini menerima dua lagi penganugerahan ketegori pembinaan daripada Malaysia Book Of Record (MBOR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dua anugerah yang diperoleh pada April 2021 adalah jambatan konkrit terpanjang menggunakan rasuk prategang berbentuk T dan T terpanjang di Malaysia.
“Hari ini SPE terima dua lagi anugerah daripada MBOR iaitu lebuh raya dua dek terpanjang pada struktur jeti tunggal (Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) sejauh 2.104 kilometer (km).
“Lebuh raya itu turut menerima anugerah jambatan darat bertingkat terpanjang (Longest Elevated Land Bridge) sejauh 20.686 km,” katanya ketika berucap semasa merasmikan pembukaan Lebuh Raya SPE di Plaza Tol Chan Sow Lin di sini hari ini.
Menurut beliau, pembukaan sepenuhya Lebuh Raya SPE itu turut membawa impak signifikan terhadap usaha kerajaan dalam membantu menyuraikan trafik bagi bandar raya Kuala Lumpur selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat.
Ujarnya, berdasarkan kajian yang dibuat pihak perunding trafik, lebuh raya itu dijangka mampu mengurangkan sehingga 30 peratus kesesakan lalu lintas pada waktu puncak melibatkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur.
“Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya dijangka mengambil masa hanya 35 minit berbanding laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit,” katanya.
Pembukaan Lebuhraya SPE hari ini melibatkan baki jajaran sepanjang 16.3 km bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi yang merupakan sebahagian jajaran lebuh raya itu iaitu Seksyen 4 (Setiawangsa-Taman Melati) sepanjang 4.4 km yang dibuka pada 21 Disember 2021.
Lebuh Raya SPE dibahagikan kepada empat seksyen íaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak–Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan juga Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km melibatkan laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.
Lebuhraya SPE ini turut menghubungkan beberapa lebuh raya lain antaranya Lebuh Raya SPRINT, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). – KOSMO! ONLINE.