PUTRAJAYA – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana ia dilihat menyekat usaha membentuk karakter, keupayaan dan jati diri seorang murid.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, ketika ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mahu setiap murid itu diberi tambah nilai dari segi pembinaan karakter sebagai benteng menghadapi dunia tanpa sempadan ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak mengatakan peperiksaan itu tidak baik tetapi pada masa ini aspek tambah nilai kepada murid itu yang lebih utama.
“Kita faham bahawa dengan cabaran dunia tanpa sempadan ketika ini ditambah pendedahan terhadap gajet dan internet, ia menyebabkan nilai berkenaan tiada dalam diri mereka (murid).
“Hari ini kita lihat anak-anak ini tidak berada dalam masyarakat tetapi mereka berada dalam dunia mereka sendiri dengan gajet yang mengajar pelbagai perkara,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, beliau mengakui KPM sendiri tercari-cari kaedah sesuai bagi menggantikan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) selepas negara berdepan pandemik Covid-19 sekitar tiga tahun lalu.
Pkharuddin berkata, ketika itu, tercetuslah idea untuk memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi kemasukan ke sekolah khusus dan berasrama.
Menurutnya, selepas tiga tahun dilaksanakan, pihaknya melihat PKSK sebagai instrumen sesuai bagi menilai murid termasuk kecenderungan dan keupayaan darjah kecerdasan (IQ) mereka.
“Malah, pengetua sekolah khusus dan berasrama juga mengakui peperiksaan itu berjaya membantu menyesuaikan murid di sekolah berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE