RAFAH, Wilayah Palestin – Israel mula menghantar beribu-ribu pekerja Palestin pulang ke Gaza hari ini selepas mereka terkandas di Israel sejak perang Rejim Zionis dengan Hamas tercetus, kata seorang pegawai sempadan Gaza.
“Beribu-ribu pekerja yang disekat di Israel sejak 7 Oktober lalu telah dibawa pulang,” kata ketua pihak berkuasa lintasan Gaza Palestin, Hisham Adwan.
Rakaman AFPTV awal hari ini menunjukkan kumpulan-kumpulan pekerja tiba menerusi Lintasan Sempadan Karem Abu Salem di antara Israel dan selatan Gaza yang biasa digunakan untuk barangan.
Israel menyatakan lewat kelmarin bahawa pihaknya akan mula mengusir pekerja Palestin kembali ke Gaza.
“Israel memutuskan semua hubungan dengan Gaza. Tidak akan ada lagi pekerja Palestin dari Gaza,” kata Kabinet keselamatan Israel dalam satu kenyataan.
Sebelum perang bermula, kira-kira 18,500 penduduk Gaza mempunyai permit kerja Israel, demikian menurut angka yang diberikan oleh COGAT.
COGAT merupakan agensi pertahanan Israel yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal awam Palestin. – AGENSI