fbpx

Konflik Palestin-Israel: Israel sabotaj pertukaran tahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA kereta kebal tentera Israel bergerak di utara Semenanjung Gaza, Isnin lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Tentera Hamas dan Israel dilaporkan sudah hampir mencapai persetujuan berhubung perjanjian mengenai tebusan yang ditahan di Gaza, namun ia menemui kegagalan selepas Rejim Zionis melancarkan serangan darat, lapor laman berita Middle East Eye (MEE) kelmarin.

Sumber rapat kepada pihak yang menjadi perantara konflik tersebut, yang diketuai oleh Qatar memberitahu bahawa kumpulan pejuang Palestin itu sebenarnya sudah bersedia untuk meneruskan perjanjian berkenaan.

Namun, Hamas memerlukan jaminan daripada Israel bahawa tahanan-tahanan berkenaan akan berada dalam keadaan selamat.

Ini kerana Hamas menyatakan bahawa 50 daripada tebusan Israel adalah antara beribu-ribu orang yang terbunuh disebabkan pengeboman sengit askar Zionis selama tiga minggu.

Pihak MEE meminta pegawai Israel untuk memberi komen, namun tidak menerima sebarang balasan.

Hamas berkata, ia memerlukan masa untuk mengumpulkan semua tebusan yang berada di seluruh Gaza dan ditahan oleh kumpulan pejuang Palestin yang berbeza serta pihak lain.

“Pada kami, Israel kelihatan tidak bersedia untuk meneruskan sebahagian daripada perjanjian itu,” kata sumber yang sama.

Pendedahan tersebut membayangkan bahawa Israel masih enggan melakukan gencatan senjata meskipun Hamas menyatakan kesediaannya untuk membebaskan tahanan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkali-kali didesak oleh ahli keluarga tahanan agar membawa pulang kesemua mereka dengan selamat, namun beliau dikritik kerana dilihat seolah-olah tidak menghiraukan tahanan-tahanan tersebut.

Tawaran semasa Hamas kepada Zionis adalah membebaskan semua 229 tahanan sebagai pertukaran untuk 5,200 penduduk Palestin yang ditawan di penjara Israel. 

Jika Israel tidak menerimanya, tawaran alternatif lain adalah Hamas bersedia untuk merundingkan pembebasan wanita, kanak-kanak dan warga asing sebagai pertukaran kepada bilangan tawanan Palestin yang akan dibebaskan Rejim Zionis. Namun, jumlahnya masih belum ditentukan.

Sebuah organisasi yang menyokong tahanan politik Palestin, Addamer berkata, setakat ini, terdapat 33 wanita dan 170 kanak-kanak dipenjarakan di Israel.

Sehingga kini, baik pelancaran serangan darat mahupun keengganan Netanyahu untuk mengisytiharkan gencatan senjata, ia tidak menghentikan usaha pihak pengantara bagi menyelesaikan konflik Israel dengan Palestin.

Bagaimanapun, Qatar memberi amaran jelas Selasa lalu bahawa selepas pengeboman kem pelarian Jabalia oleh tentera Israel, ‘tahap kesabarannya’ akan tergugat. 

Kementerian Luar Qatar berkata, serangan ke atas hospital, sekolah, pusat tumpuan penduduk dan tempat perlindungan bagi pelarian adalah peningkatan berbahaya dalam konflik berkenaan sekali gus akan menjejaskan usaha-usaha pihak yang menjadi orang tengah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI