PETALING JAYA – Seorang usahawan dan pempengaruh, Kieda Crepe tampil memberi respon secara berseloroh ekoran cadangan netizen untuk meminta dirinya menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Menerusi hantaran perkongsian Kieda di aplikasi TikTok, Kieda bersenda ingin berhenti menjual Kieda Crepe kerana ingin menjadi penghuluwati PLKN.
Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai netizen mencadangkan nama pempengaruh seperti Khairul Aming, Imran Bard, Azfar Heri dan dirinya terlebih dahulu untuk menyertai program tersebut.
“Disebabkan nama Kieda diseru-seru, jadi saya nak maklumkan lepas ini mungkin saya dah tak duduk dalam Kieda Crepe.
“Disebabkan Kieda nak jaga hati semua orang, saya terpaksa memilih untuk menyertai penghuluwati PLKN selepas ini,” selorohnya.
Sementara itu, usahawan ini turut sempat mememerli sesetengah pengguna laman sosial yang sering menyelarnya dengan menyeru mereka untuk tampil menyertai kumpulannya jika berjaya memasuki PLKN kelak.
“InsyaAllah, doakan saya untuk jadi ketua yang berjaya dan andai kata ada yang berminat untuk menjadi anak-anak dibawah penghuluwati saya, silakan.
“Saya alu-alukan yang suka mengecam tapi lembek lutut, lembik, suka menyorok tapi mengata orang untuk tampil ke depan,” katanya lagi.
Meninjau ke ruangan komen video yang menerima 15,600 ribu tanda suka itu, rata-rata mereka turut membalas jenaka Kieda.
“Nanti satu bilik boleh makan Kieda Crepe,” kata seorang pengguna.
“Kalau Kieda masuk, dia terus terpilih jadi keseluruhan ketua wirawati. Suara dia beri arahan saja sudah kalah ketua wira,” komen Muhaziera Mohamad.
Seorang lagi pengguna laman sosial berkata usahawan ini sesuai untuk menjadi ketua memberi arahan kawad. – KOSMO! ONLINE