fbpx

Kelar kawan guna pisau geram pasang muzik kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA mengalami kecederaan parah di leher selepas dikelar kawannya di asrama pekerja di Jalan Pantai Puteri, Melaka, semalam.

MELAKA – Seorang lelaki warga Myanmar diberkas polis selepas dipercayai mengelar leher rakannya menggunakan pisau pemotong sayur selepas berang mangsa memasang muzik terlalu kuat, di asrama pekerja di Jalan Pantai Puteri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di leher dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan berhubung kejadian dibuat oleh penyelia asrama dan suspek berusia 28 tahun berjaya diberkas pada pukul 6.50 petang, pada hari sama.

“Mengikut laporan dibuat, tiga pekerja warga Myanmar bergaduh di dalam bilik asrama dan pengadu nampak suspek memegang pisau, manakala seorang lagi berdarah.

“Salah seorang pekerja pula cuba meleraikan pergaduhan serta merampas pisau tersebut daripada suspek dan pengadu meminta pemandu kilang untuk membawa mangsa ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati, pergaduhan itu berlaku selepas suspek berang mangsa memasang muzik terlalu kuat sehingga menganggu tidurnya.

“Ketika kejadian suspek dalam keadaan mabuk dan hasil soal siasat dia mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI