JAKARTA – Sebuah klip video memaparkan perkahwinan dua kanak-kanak berusia 10 tahun di Madura, Jawa Timur mencetuskan kekecohan di media sosial Indonesia, lapor laman berita SindoNews hari ini.
Pejabat Pendakwa Raya Sampang kemudian menyiasat dakwaan itu dengan memanggil keluarga dua kanak-kanak itu.
Ketua Risikan di Pejabat Pendakwa Raya Sampang, Achmad Wahyudi berkata, dalam perkara ini pihaknya mempunyai kuasa untuk membatalkan perkahwinan kerana mereka masih di bawah umur.
“Setelah disiasat, ternyata dua remaja itu berusia 14 tahun dan mereka berasal dari daerah Robatal,” katanya.
Pegawai Pejabat Pendakwa Raya Sampang kemudian diberitahu bahawa dua remaja itu hanya bertunang.
Perkara itu biasa dilakukan dalam kalangan masyarakat Islam Madura lebih-lebih lagi apabila ibu bapa kedua-dua belah pihak merestui hubungan mereka.
“Jadi maklumat mengenai perkahwinan itu adalah palsu. Sementara itu, pertunangan tersebut berlangsung pada 22 Oktober lalu di kediaman gadis itu,” kata Achmad. – Agensi