HAMPIR tiga dekad meniti kembara seni, penyanyi bersuara lantang, Liza Hanim akhirnya merealisasikan impian mengadakan konsert sulung menerusi Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang dijadualkan pada 4 Februari tahun depan.
Membariskan deretan lagu hits seperti Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara, Gelisah Mimpi dan Merawat Luka Terpendam, konsert berskala mega ini sudah pasti mengejutkan peminat yang menanti sekian lama.
Liza Hanim yang menyertai Gegar Vaganza musim empat kembali mempamer kredibiliti dalam program realiti sama untuk musim ke-10, Gegar Vaganza All Stars bersama mantan juara musim terdahulu.
Seiring pembabitan dalam GV10 yang memberi peluang generasi baharu mengenal aura permata seni bernama Liza Hanim, lagu-lagu miliknya seperti Sejuta Maaf ampuh menapak dalam carta Muzik-Muzik, sekali gus membuat peminat kian teruja menantikan konsert sulung idola mereka itu.
Menurut pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim, konsert istimewa tersebut diadakan bagi meraikan hampir tiga dekad penglibatannya dalam dunia muzik.
“Tentulah saya sangat teruja untuk mengadakan konsert setelah 27 tahun berkelana dalam bidang ini.
“Selain mendendangkan lagu-lagu popular dan malar segar dahulu, saya akan membawakan single terbaharu ciptaan Ajai berjudul Mengertilah,” ujarnya.
Paling utama bagi pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 2003 itu adalah momen pertemuan penuh makna yang bakal diukir peminat.
“Liza Hanim 27 Years Journey In Concert bukan sekadar tentang saya tetapi lebih daripada itu apabila bakal mengabadikan pertemuan bersama peminat setia sejak saya mula berkarya, selain berkenalan dengan peminat baharu yang mahu mengenal Liza Hanim lewat single atau pembabitan dalam beberapa program termsukGegar Vaganza.
“Inilah momen yang saya tunggu sebagai lambang apresiasi kepada semua yang tak jemu menyokong karier seni saya,” ujarnya.
Menurut wakil LH Media SB dan Laugh Out Loud Entertainment selaku penganjur bersama, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert adalah penjenamaan Liza Hanim sebagai penyanyi dengan imej bersih dan berbakat besar.
“Tempoh 27 tahun dirasakan sangat signifikan dan cukup matang buat seorang penghibur berkaliber seperti Liza Hanim mempamerkan kualiti dan segudang pengalamannya menerusi konsert nanti,” ujarnya.
Liza Hanim 27 Years Journey In Concert akan berlangsung di Zepp KL pada pukul 8.30 malam.
Menariknya, konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi & Digital melalui MyCreative Ventures Sdn.Bhd.
Sudah memiliki tujuh album penuh, kejayaan demi kejayaan didakap penghibur serba boleh ini selayaknya dihargai dan diberi apresiasi.
Tiket-tiket berharga RM228 (CAT 3), RM288 (CAT 2), RM358 (CAT 5), RM388 (CAT 1), RM398 (CAT 4), RM8,000 (VIP BOX) dan RM189 (MEET & GREET) boleh dibeli menerusi My Ticket Empire