PETALING JAYA – Pelepasan cukai untuk penjagaan gigi adalah antara peruntukan atau manfaat buat golongan M40 menerusi Belanjawan 2024.
Menerusi poster yang dikongsikan Kementerian Kewangan di aplikasi X hari ini menunjukkan, golongan M40 di negara ini akan dapat menikmati pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk penjagaan gigi.
Kata kementerian itu, Belanjawan 2024 adalah peruntukkan kewangan untuk semua rakyat negara ini termasuk golongan pertengahan atau M40 yang sentiasa mendapat perhatian kerajaan.
Selain pelepasan cukai penjagaan gigi, golongan M40 juga diberikan pengecualian deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri serta pas bulanan MY50 melibatkan perkhidmatan bas dan rel di sekitar Lembah Klang.
Terdapat juga diskaun untuk bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 15 peratus bagi mereka yang meminjamnya bermula 15 Oktober lalu sehingga 31 Mac 2024.
Antara manfaat M40 yang lain adalah pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi pembelian alatan sukan, aktiviti sukan termasuklah melakukannya di gimnasium, menyewa gelanggang futsal dan badminton.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) diluluskan di peringkat dasar selepas ia selesai dibahaskan di Dewan Rakyat semalam.
RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sejurus penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar oleh Anwar. – KOSMO! ONLINE