SHAH ALAM – Dua lelaki diberkas selepas menggodam papan menu digital sebuah restoran makanan segera sebelum menukarnya kepada sesuatu berkaitan konflik Palestin dan Israel, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 26 tahun itu susulan laporan polis yang diterima daripada pengurus restoran tersebut pada Selasa lalu.
Katanya, satu papan menu digital restoran di kawasan Kuala Langat itu telah digodam dengan paparan gambar produk makanan itu telah berubah.
“Paparannya telah berubah dengan mengandungi imej darah, bom dan peluru.
“Susulan itu, polis telah menangkap dua suspek di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur selain merampas telefon bimbit mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, kedua-dua suspek kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO!ONLINE