PETALING JAYA – Genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani mengakhiri zaman bujangnya selepas sah menikahi Siti Sarah Zulkarnain dengan sekali lafaz semalam.
Berita gembira tersebut dikongsikan bapa Adi Putra, Abdul Ghani Abdul Wahid menerusi hantaran di Facebook miliknya.
“Sahlah Adi Putra sebagai Raja Sehari di Lundang, Kota Bharu, Kelantan.
“Berkat doa dari tuan, puan, sahabat serta muridnya dengan lafaz nikah sekali saja dan kenduri pun berjalan lancar,” katanya.
Katanya majlis pernikahan itu berlangsung di kediaman pengantin perempuan berkenaan.
Dalam majlis tersebut, Adi Putra, 24, memberikan wang hantaran berjumlah RM9,999.99 kepada Siti Sarah, 27.
Terdahulu, Adi Putra sebelum ini pernah menggemparkan negara selepas digelar genius matematik khususnya algebra, trigonometri dan darab. – KOSMO! ONLINE