BATU PAHAT – Seorang bapa melalui detik hitam dalam hidupnya apabila kehilangan anak lelaki ketika membawanya memancing di Kelong Wahid Panjang, Pantai Sungai Lurus di sini lewat petang semalam.
Tragedi itu menimpa Johan Ali, 55, yang yang tinggal di Parit Surau Darat, Parit Raja di sini membawa anaknya, Muhammad Adam Dani, 10, memancing ikan di kelong tersebut kira-kira pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian disedari bapanya kira-kira pukul 5.30 petang ketika mahu bergerak balik sebelum mendapati anaknya tiada di dalam pondok kelong berkenaan.
“Berikutan keadaan cuaca yang agak panas pada tengah hari bapanya menyuruh anaknya berteduh di sebuah pondok di tengah-tengah laluan kelong sejauh kira-kira 60 meter dari tempatnya memancing.
“Ketika mahu bergerak balik, bapanya mendapati anaknya tiada di tempat yang ditinggalkan sebelum berusaha mencari di beberapa tempat sekitar kelong itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ismail, bapanya yang khuatir anaknya jatuh ke dalam laut terus membuat laporan di Balai Polis Senggarang pada pukul 6.30 petang sebelum gerakkan mencari bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Rengit serta orang awam dilakukan.
Ujarnya, kira-kira pukul 9.15 malam, mayat Muhammad Adam Dani ditemui terdampar oleh orang awam di tepi pantai kira-kira 200 meter dari tempatnya dilaporkan terjatuh sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya
Sementara itu, seramai tujuh orang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Rengit diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Khairul Azmi Ngatman dikejarkan ke lokasi selepas menerima kejadian pada pukul 6.47 petang. – KOSMO! ONLINE