BANGKOK – Seorang lelaki Thailand meminta bantuan media sosial untuk mencari doktor pakar bagi merawat jangkitan pada zakarnya, lapor laman berita semalam.
Lelaki itu berbuat demikian selepas organ tersebut bengkak akibat suntikan minyak zaitun.
Pesohor media sosial Thailand, Kannarat ‘Gun’ Pongpaiboonwet, menemani lelaki berusia 29 tahun itu yang menggunakan nama A ke Hospital Masterpiece di Bangkok untuk berunding dengan pakar tentang simptom dialaminya.
Lelaki itu berkata, dia menjalani suntikan pembesaran organ tersebut ketika berusia 20 tahun tetapi terdapat jangkitan pada zakarnya baru-baru ini.
Dia menemui seorang doktor yang memberi krim antiseptik untuk merawat zakarnya dan membenarkannya pulang ke rumah.
Doktor itu juga meminta pesakit untuk datang setiap kali dia berasa sakit pada kemaluannya.
Namun, pada satu hari, doktor itu berkata kepada pesakit dan isterinya sama ada mereka boleh memotong kemaluan lelaki itu.
Lelaki itu kemudian terkejut dan memutuskan untuk meminta bantuan pesohor tersebut bagi mencari doktor pakar walaupun dia berasa malu. – AGENSI