PETALING JAYA – Lebih 10,000 pemohon telah berdaftar untuk menyertai program Akademi Dalam Industri (AII) yang dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program melibatkan penyertaan hampir 500 syarikat itu bertujuan memastikan peningkatan pekerja mahir di negara ini.
“MPC akan terus berusaha meningkatkan jumlah syarikat yang terlibat agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menaik taraf kemahiran mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul menerangkan, antara sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030) meningkatkan pendapatan median pekerja sektor pembuatan sehingga RM4,510 dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.
Justeru, katanya, MPC agensi di bawah MITI telah melaksanakan program AII bagi membolehkan pekerja diberi latihan sambil bekerja untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Jelas beliau, peningkatan kemahiran juga akan meningkatkan produktiviti sekaligus membantu Malaysia mencapai sasaran tangga ke-12 teratas dunia bagi Indeks Daya Saing Global. – KOSMO! ONLINE