fbpx

Young Tigers ditimpa malang kalah kali keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANISH AIMAN cuba melepasi kawalan pemain Great Britain pada perlawanan SOJC di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam ini. - Foto MOHAMAS FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Skuad remaja kebangsaan terus dirundum malang apabila dibelasah Great Britain 4-7 dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.

Keputusan itu menyaksikan The Young Tigers sekadar berentap pada perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan menentang Afrika Selatan pada petang esok.

Pada perlawanan itu, Great Britain terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelima hasil jaringan Matthew Hughson menerusi pukulan sudut penalti yang menewaskan penjaga gol, Rafaizul Sani.

Skuad kendalian Jon Bleby terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan dan berjaya mencipta dua gol padang pada minit kesembilan dan minit ke-15 hasil Ted Graves dan Ali Douglas.

Tersentak dengan keputusan itu, skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim meningkatkan tempo permainan dan berjaya memecahkan kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten Faris Harizan pada minit ke-22.

Dua minit berselang, The Young Tigers merapatkan jurang gol apabila Andywalfian Jeffrynus meledak gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-24 juga menerusi pukulan sudut penalti.

Harris Iskandar Osman melengkapkan kebangkitan skuad remaja kebangsaan apabila menyamakan kedudukan menerusi gol padang yang dihasilkan pada minit ke-27.

Bersambung babak kedua, Great Britain berjaya memadamkan momentum pasukan tuan rumah apabila berjaya melebarkan kedudukan setelah Jacob Payton mencipta dua gol pada minit ke-36 dan ke-42 menerusi gol padang.

Sebelum tamat suku ketiga, Haris merapatkan kedudukan dengan menambah gol kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 bagi menghidupkan peluang pasukan tuan rumah.

Pada suku keempat, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-49 menerusi Henry Markham menerusi gol padang sebelum Rory Penrose menambah derita buat Young Tigers apabila meledak gol ketujuh pasukan pada minit ke-54.

Great Britain akan berdepan New Zealand pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam selepas pasukan The Black Sticks itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Afrika Selatan 3-1 pada pertembungan petang tadi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI