PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita cuba memenuhkan bekas anggur ingin dibelinya di sebuah pasar raya dikecam ramai pengguna media sosial hari ini.
Menerusi video dimuat naik oleh @shazwaaa, kelihatan wanita itu dengan beraninya membuka bekas anggur hijau yang lain untuk menukar dengan saiz yang lebih besar.
Wanita itu kemudian memasukkan anggur hijau berkenaan ke dalam bekas yang ingin dibelinya supaya penuh dan padat.
Bukan itu sahaja, wanita berkenaan menyuap anaknya anggur yang diambil daripada bekas lain seolah-olah seperti berada di restoran.
“Perangai betul dia penuhkan bekas anggur tu sampai susah nak tutup. Dia ambil sikit-sikit dari bekas lain. Siap bagi anak makan lagi.
“Bukan apa, kan dah timbang. Tolong jangan biasakan perangai macam ni. Lagi-lagi depan anak,” tulis @shazwaaa yang memuat naik video berkenaan.
Difahamkan saksi yang merakam video tersebut sudah pun membuat aduan kepada petugas pasar raya berkenaan.
Sehingga kini, video tersebut mendapat 251,800 tontonan, 2,551 tanda suka dan 395 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, ramai beranggapan tindakan wanita tersebut hanya mementingkan diri sendiri kerana memberi kesan kepada pelanggan yang ingin membeli.
“Biasalah tu, jenis-jenis begini. Aku pernah nampak golongan macam ni pilih bawang, sampai dah nak nampak isi bawang itu dikupasnya di situ,” komen Hany.
“Patutlah kadang-kadang beli anggur tengok sikit je dalam bekasnya. Pentingkan diri sendiri betul,” komen Ash.
“Dia sahaja lah nak anggur yang besar-besar dan elok. Kita pun bayar pakai duit juga,” komen April.
“Dua minggu lepas saya saksi tengok dua orang tua tukar anggur macam dalam video ini. Saya beritahu staf, tapi staf buat tak tahu je,” komen seorang pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE