PETALING JAYA – Pelakon Nad Zainal menzahirkan terima kasih kepada suaminya, Ungku Ismail yang sentiasa ringan tulang membantu menjaga anak selain membantu melakukan kerja rumah.
Kata pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin itu, kadangkala golongan isteri terlupa untuk menghargai usaha suami yang sentiasa memberikan layanan terbaik untuk seisi keluarga.
“Terima kasih buat semua suami, kadangkala kita lupa nak berterima kasih kepada suami yang memberikan layanan terbaik kepada anak dan isteri.
“Buat semua lelaki bergelar bapa yang rajin dan sentiasa memberikan semangat kepada isteri, mereka banyak membantu dalam menempuh hari-hari yang memenatkan.
“Terima kasih ya suamiku sayang, saya cinta awak,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok.
Sementara itu, aktres berusia 33 tahun itu turut meminta agar peminatnya berterima kasih kepada pasangan masing-masing sebagai tanda apresiasi.
“Cepat ucap terima kasih dekat suami masing-masing, hargai mereka sebaiknya,” jelas Nad.
Nad sebelum ini pernah pernah berkahwin dengan Faliq Amiruddin, namun bercerai pada 3 September 2022 selepas tujuh tahun hidup bersama.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, setahun.
Pada 23 Januari lalu Nad mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan aktor Ungku Ismail. – KOSMO! ONLINE.