ALOR SETAR – Penamatan subsidi dan kawalan harga ayam bermula semalam tidak menjejaskan pengguna ekoran peniaga menjual rendah daripada harga siling RM9.40 sekilogram (kg) yang ditetapkan sebelum ini.
Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati, peniaga ayam menjual antara RM7.70 hingga RM9.40 per kg, sekali gus meleraikan kebimbangan pengguna.
Menurut seorang peniaga, Mohd. Zakir Mohd Zahir, 27, harga ayam yang ditetapkan adalah RM7.70 satu kg sejak semalam.
“Hari ini dan semalam kami jual RM7.70 setelah dapat harga daripada pemborong RM7.10. Pemborong memberi alasan ayam banyak ketika ini.
“Kami tak bercadang untuk menaikkan harga lebih daripada itu kerana kami menjual mengikut harga pasaran,” katanya.
Ujarnya, peniaga tidak menafikan terdapat pembelian panik kelmarin ekoran keputusan kerajaan untuk menamatkan subsidi kepada penternak itu.
Menurut Wan Mohd. Afiq Wan Ahmad Fauzi, 26, dia menjual ayam pada harga RM8.50 sekilogram jauh lebih murah daripada RM9.40.
“Kami akan berusaha menjual harga ayam di bawah RM9.40 setiap kg. Jika pembekal menaikkan harga kita mempunyai alternatif lain untuk memastikan pengguna tidak terbeban” katanya.
Di Kangar, seorang peniaga di Pasar Besar Sena, Jasrizal Su, 45, berkata, harga jualan runcit bergantung kepada pembekal barangan itu.
“Hari ini, harga jualan ayam RM9.40 sekilogram dan ia adalah dalam lingkungan harga seperti sebelum kerajaan umum penarikan subsidi ayam.
“Saya juga mempunyai harapan sama seperti pelanggan saya iaitu berharap agar bekalan ayam sentiasa stabil,” jelasnya.
Di Seremban, peniaga di Pasar Besar Seremban dan Pasar Ampangan tetap mengekalkan harga antara RM9.40 hingga RM9.90.
Peniaga Ayam Segar Marina, Shahril Rashid, 60, berkata, dia masih mengekalkan harga RM9.40 sekilogram berikutan tidak mahu membebankan pelanggan terutamanya B40.
“Kami peniaga di sini sepakat tidak akan menaikkan harga. Kita juga tidak kenakan sebarang caj potong ayam dan berharap harganya tidak akan melonjak naik dengan ketara,” ujarnya.
Di Ipoh, tinjauan di sekitar bandar raya ini, Batu Gajah dan Manjung mendapati, ada peniaga menjual ayam pada harga RM9 berbanding RM9.40 kelmarin.
Seorang peniaga, Mohd. Alwi Mohd. Nor, 52, berkata, ia ekoran pihak pembekal menjual ayam kepada mereka pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu sekitar RM7.50 sekilogram (per kg) kepada RM6.50 per kg.