PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals dinamakan sebagai pemenang Anugerah Human Resources Development Corporation (HRD Corp) 2023 di bawah kategori Kecemerlangan Dalam Pembangunan Siswazah (Pekerja Masa Depan) dan Kecemerlangan Dalam Kategori Latihan Pendidikan Vokasional Teknikal (TVET).
Anugerah tersebut disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen pada Makan Malam Gala Anugerah HRD 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Neelsen berkata, sebagai peneraju hab pemindahan kapal Malaysia dan antara pelabuhan tersibuk di dunia, PTP berbangga untuk memacu laluan kemampanan bagi sektor pelabuhan.
“Kami melihat kakitangan sebagai aset berharga, dan terus melabur dalam program sumber manusia yang inovatif dan progresif termasuk melibatkan pengambilan, kepelbagaian dan keterangkuman, kesejahteraan, ganjaran serta pengiktirafan untuk menarik dan mengekalkan bakat tempatan dan antarabangsa.
“Selain itu, kami telah memupuk budaya korporat untuk mempertimbangkan kemampanan dan sosial dalam membuat keputusan strategik, dan ini seterusnya telah menghasilkan pelbagai peluang untuk memupuk penglibatan pekerja dalam usaha penting yang mewujudkan perbezaan.
“Kami teruja untuk diiktiraf oleh HRD Corp atas usaha mewujudkan kelestarian dan amalan sumber manusia terbaik (HR) dalam kelas yang menyokong kakitangan dan membina hubungan yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah HRD Awards adalah salah satu acara paling berprestij dalam dunia HR dan latihan industri di Malaysia dengan proses pemilihan yang ketat, tradisi, panel hakim dihormati, ketelusan dan pengiktirafan industri.
Ia dianjurkan sejak 2001 untuk menggalakkan majikan Malaysia untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka.
PTP ialah hab pemindahan penghantaran tersibuk di Malaysia dengan kapasiti untuk mengendalikan 13 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setahun dan kini berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan kontena terkemuka dunia. – KOSMO! ONLINE