MACHANG – Polis sudah mengenal pasti identiti tiga buruh warga Bangladesh yang maut selepas tertimbus runtuhan tanah ketika sedang bekerja di tapak projek pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Pulai Chondong di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, ketiga-tiga lelaki iaitu Md. Sajjad Hossain (20), Jahidul Khan (20) dan Munirul (31) disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 tengah hari apabila tertimbus tanah semasa mereka membuat parit salur air sedalam empat meter.
Menurutnya, tebing tanah di kawasan itu runtuh sehingga menimbus ketiga-tiga mangsa semasa mereka sedang bekerja.
“Kerja-kerja menggali tanah dilakukan oleh pasukan bomba dan penyelamat dengan bantuan jentolak bermula pukul 2 petang tadi. Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di dalam runtuhan tanah selepas dua jam operasi dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE