fbpx

Mahkamah: Pempengaruh curi di pasar raya dijel sehari, denda RM400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri beberapa barangan bernilai lebih RM100 di sebuah pasar raya, seorang pempengaruh wanita dihukum penjara sehari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rumaisyah Yahya, 31, selepas wanita itu mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh jatuh hukum hari ini dan dipenjara tiga hari lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Rumaisyah didakwa mencuri barangan antaranya pewangi bilik, buih mandian, penyangkut baju, ubat gigi dan minuman yang keseluruhannya berjumlah RM108.18.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di pusat beli-belah terkemuka Jalan Ampang di sini pukul 4.30 petang pada 1 November lalu (semalam).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk penjara dan denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menyara ibu berusia 65 tahun yang merupakan pesakit darah tinggi.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan barang yang diambil hanyalah barang keperluan asas sahaja. Anak guam telah insaf dan mohon diberikan peluang kedua,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah mengambil beberapa barang (seperti dalam pertuduhan) lalu memasukkannya ke dalam beg yang dibawa.

Namun tertuduh tidak membuat pembayaran bagi barangan tersebut sebelum berjalan ke bahagian lain dan terus keluar dari pasar raya itu.

Tertuduh kemudian ditahan oleh pengawal keselamatan dan hasil pemeriksaan mendapati beg yang dibawa mempunyai barangan milik pasar raya tersebut dan dia gagal mengemukakan resit pembelian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI