fbpx

Jangkaan harga ayam naik meleset

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGARAH KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth (kanan) meninjau harga ayam di Pasar Besar Alor Setar semalam. – SHAHIR NOORDIN

PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai yang ditemui semalam mengharapkan agar harga ayam terus stabil berikutan penamatan subsidi terhadap bahan mentah itu dan harga apungan mula dilaksanakan semalam.

Malah tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati, pihak Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat melakukan pemantauan harga makanan itu.

Di Kangar, seorang pengguna, Salmah Ismail, 56, berkata, dia yang sering memerlukan bekalan ayam untuk jualan di kedai makannya berharap tidak ada pihak yang mengambil peluang memanipulasikan harga selepas ini.

“Hari ini saya lihat harga ayam yang dijual masih lagi stabil dan kita harap ia akan terus stabil dan tidak ada komplot untuk menaikkan harga ikut suka hati.

“Saya juga mohon kepada pihak KPDN agar sentiasa memantau harga dan bekalan terutama di peringkat pembekal agar ia tidak menekan pengguna terutama peniaga seperti saya,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Sena, Kangar semalam.

Katanya, sebagai peniaga kedai makan, dia serba salah untuk menaikkan harga jualan jika berlaku peningkatan harga kerana ia membebankan pengguna dalam keadaan kos sara hidup yang sedang meningkat.

Di Alor Setar, menurut seorang pelanggan, Khatijah Mat Jan, 70, yang berasal dari Kuala Lumpur, dia terkejut setelah melihat harga ayam di Pasar Besar Alor Setar jauh lebih murah berbanding ibu kota.

“Mula-mula rasa risau juga takut peniaga naikkan harga sebab kerajaan sudah tarik balik subsidi, tetapi tengok harga macam biasa, malah ada yang jual ayam jauh lebih murah.

“Saya berharap harga ini kekal dan tidak ada peniaga yang ambil kesempatan untuk naikkan harga selepas ini,” katanya.

Di Shah Alam, rata-rata pengguna di Pasar Moden Seksyen 16 terkejut dan teruja apabila harga ayam turun antara RM8.40 dan RM8.60 sekilogram pada hari pertama penamatan subsidi ayam semalam.

Seorang kakitangan kerajaan, Ammar Izham, 33, berkata, penurunan itu dapat mengurangkan perbelanjaan mingguan pembelian ayam kira-kira RM20 berbanding RM40 sebelum ini.

Namun katanya, ia baru hari pertama dan pastinya harga tersebut akan sentiasa diperhatikan pengguna setiap minggu.

“Ramai gembar-gembur bahawa harga akan naik pada hari pertama subsidi ditamatkan, namun ternyata meleset.

“Sudah tentu, saya berharap tiada sebarang pihak mengambil kesempatan dalam proses apu­ngan harga ini,” ujarnya.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Yazid Naim berkata, harga rendah ayam melegakan ke­rana bahan mentah itu adalah makanan yang mempu­nyai khasiat protein terbaik.

Ujarnya, ini memandangkan harga ikan yang agak tinggi terutama apabila negara berdepan Monsun Timur Laut.

“Memang akui terkejut sebab sebelum ini harganya RM9.40 sekilogram. Anak- anak pun suka makan ayam,” kata­nya.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, kerajaan mengumumkan untuk menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI