LONDON – Pasukan Mercedes kehilangan individu penting selepas ketua pegawai teknikal, Mike Elliott membuat keputusan meninggalkan pasukan Silver Arrow itu selepas dikatakan kecewa berikutan kegagalannya membawa pasukan tersebut kembali ke puncak kemenangan.
Elliott telah bekerjasama dengan pasukan Mercedes selama 11 tahun dan merupakan pemacu utama kemenangan Mercedes selepas merangkul gelaran juara lapan kali dalam kategori pengeluar pada 2014 hingga 2022.
Bagaimanapun, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff enggan menjawab spekulasi liar membabitkan pasukannya sambil menegaskan bahawa segala keputusan dibuat oleh Elliott sendiri.
“Keputusannya untuk meninggalkan Mercedes adalah keputusannya sendiri. Elliot menjadi salah satu tonggak pencapaian pasukan sepanjang dekad lalu dan dengan perasaan bercampur baur kami mengucapkan selamat tinggal kepadanya hari ini.
“Elliot juga seorang individu yang berbakat dan beliau telah memberikan sumbangan besar bukan sahaja memenangi perlumbaan, malah membina budaya baik dalam pasukan kami.
“Tetapi jelas bahawa beliau sudah bersedia untuk pengembaraan baharu di luar Mercedes. Jadi, saya tahu ini adalah langkah yang tepat untuknya.
“Kami ucapkan terima kasih atas usaha, komitmen dan kepakaran yang telah dibawanya kepada pasukan sejak 11 tahun lalu dan doa terbaik kami untuk masa depannya,” kata Wolff. – AGENSI