PUTRAJAYA – Datuk Prof Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini hingga 1 November 2026.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, Dr. Shahrin, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, United Kingdom.
Katanya, beliau merupakan Profesor Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
“Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM pada tahun 2013 sebelum menggalas amanah sebagai Naib Canselor UTeM untuk tempoh lima tahun pada tahun berikutnya.
“Selain memiliki pengalaman kepimpinan di universiti awam, Dr. Shahrin turut memiliki pengalaman pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, beliau juga memiliki reputasi akademik yang sangat dihormati di dalam dan luar negara sekali gus mampu meningkatkan keterlihatan universiti dalam memacu kecemerlangan UiTM khususnya dalam era teknologi pengganggu (disruptive technology) hari ini.
“Beliau turut dilihat berupaya untuk memperkasa UiTM sebagai wadah pendidikan utama negara dalam melahirkan graduan Bumiputera yang berdaya saing dan kalis masa hadapan,” katanya.
Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof Ts. Dr. Roziah Mohd Janor atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini. – KOSMO! ONLINE