KUALA LUMPUR – Cadangan untuk kuota minyak masak peket ditambah dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu di pasaran perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana bakal melibatkan banyak kementerian.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menjelaskan, ia bagi memastikan sebarang penambahan kuota tidak memberikan impak negatif ke atas kedudukan kewangan kerajaan.
“Seperti yang kita ketahui kuota rasmi yang dikeluarkan kerajaan adalah 10,000 metrik tan sebulan dan untuk tambah lagi 10,000 metrik tan lagi ia menyebabkan peningkatan kos, kerajaan hari ini beri tumpuan kepada penyasaran subsidi.
“Cadangan penambahan kuota juga akan menyebabkan peningkatan kos ke atas pelaksanaan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS). Kos pelaksanaannya boleh meningkat mendadak selari dengan pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO).
“Justeru, cadangan berkenaan perlu diperhalusi bukan sahaja di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tetapi kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai cadangan supaya kuota minyak masak paket bersubsidi yang ketika ini terhad kepada 60,000 tan, ditingkatkan bagi mengatasi kekurangan bekalan dalam kalangan pengguna domestik dan peniaga kecil.
Bagi mengatasi isu kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran, Fuziah berkata, KPDN menggerakkan pelbagai rangka tindakan bertujuan mengelak ketirisan di semua peringkat rantaian bekalan.
“Kita teruskan dasar melarang semua eksport minyak masak dalam polibeg di bawah Peraturan Kawalan Bekalan Larangan Eksport, mulai 1 Ogos 2022 supaya tiada ketirisan bekalan minyak subsidi ke negara jiran.
“Pemantauan minyak subsidi turut dipertingkat melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) yang merakam transaksi jualan minyak masak di pelbagai lapisan peringkat merangkumi kilang penapisan, pembungkusan, pemborong, peruncit ke satu data pusat.
“Melalui sistem ini, pemantauan KPDN bagi penyaluran minyak masak paket bersubsidi di pasaran dapat dibuat secara lebih berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE