fbpx

Bayi 12 bulan alami pendarahan kepala, JKM sita taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah taska di Taman Pertam Jaya disita JKM Melaka susulan kes bayi lelaki mengalami pendarahan di kepala selepas dihantar ke pusat jagaan itu, kelmarin.

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri menyita sebuah taska di Taman Pertam Jaya, di sini susulan kes seorang bayi lelaki mengalami pendarahan di kepala selepas dihantar ke pusat jagaan itu dalam kejadian kelmarin.

Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, tindakan tersebut dibuat pukul 2 petang tadi selepas mendapati taska tersebut tidak didaftarkan mengikut kepada alamat baharu premis.

“Taska itu sebelum ini berdaftar tetapi dia telah berpindah ke premis baharu pada 1 Ogos lalu dan belum mendaftarkan alamat di situ.

“Apabila berpindah ke tempat baru, automatik pendaftaran lama itu terbatal dan dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambahnya, taska tersebut mula dibuka pada 2021 dan pemeriksaan lanjut bagaimanapun tidak menemui sebarang rekod kesalahan.

Ujarnya lagi, hasil soal siasat pemilik premis memaklumkan pihaknya menguruskan penjagaan untuk 17 bayi dan kanak-kanak yang berusia satu sehingga empat tahun.

“Kita rakam percakapan pemilik, kita mungkin akan membuat pendakwaan namun perkara itu belum diputuskan lagi susulan keluarga mangsa masih di hospital.

“Difahamkan bayi tersebut dalam keadaan koma atau ditidurkan selepas menjalani pembedahan,” ujarnya.

Semalam Kosmo! melaporkan, seorang bayi lelaki berusia setahun mengalami pendarahan di kepala selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini.

Pemilik premis mendakwa bayi tersebut disedari berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika ingin dipakaikan pakaian dan kejadian dimaklumkan kepada bapa mangsa pada pukul 9.30 pagi.

Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Melaka oleh keluarganya untuk rawatan sebelum disahkan mengalami pendarahan di kepala.

Bayi lelaki itu sebelum ini dikatakan pernah mengalami kecederaan lebam pada pipi kanan dan dahi sebelah kiri selepas dihantar ke pusat jagaan sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI