fbpx

98,757 cadangan SSPA diterima sehingga 31 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima sebanyak 98,757 cadangan bagi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melibatkan 40,833 responden sehingga 31 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed berkata, sesi libat urus ke semua peringkat negeri mula dijalankan pada Ogos lalu bagi memastikan semua penjawat awam merentasi pelbagai peringkat perkhidmatan, gred dan skim perkhidmatan terlibat dalam menyumbang pandangan, cadangan dan idea baru.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu telah mengumumkan agar pelaksanaan penuh SSPA dibuat bermula tahun 2025.

Jelasnya, mengambil kira keperluan semasa, laporan akhir Kajian SSPA dijangka akan dibentangkan pada Julai 2024 dan seterusnya diangkat untuk pembentangan Belanjawan 2025.

“Kita komited untuk memastikan kajian ini dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan dengan dapatan data yang terangkum dan inklusif mewakili segenap lapisan suara akar umbi penjawat awam.

“Libat urus berskala besar mahupun kecil pada semua peringkat akan terus dipergiatkan melalui townhall, konvensyen, kumpulan fokus serta perjumpaan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan tiada satu pun penjawat awam yang tertinggal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bertitik tolak atas kesediaan ini, justeru perubahan untuk menerima budaya kerja pantas dan berkesan melalui pendekatan menyeluruh tiga pihak iaitu rakyat, kerajaan dan industri perlu digerakkan oleh seluruh jentera perkhidmatan awam untuk bersama dalam meningkatkan prestasi dan produktiviti.

“Laksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan sebaiknya dengan mendukung penuh prinsip integriti dan tata kelola yang baik agar semua pihak mendapat manfaat, negara sejahtera dan seterusnya memaknai kajian yang kita usahakan ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zulkapli berkata, Kajian SSPA secara keseluruhan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dilihat dari aspek produktiviti mewajarkan gaji setimpal serta kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.

Tambahnya, kajian SSPA telah digerakkan mulai 29 Julai lalu melalui beberapa siri libat urus JPA dengan kementerian serta agensi Kerajaan Persekutuan yang merangkumi enam kelompok iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, teknikal, sains dan teknologi serta pengurusan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan secara dasarnya melalui Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) pada 7 Ogos lalu telah bersetuju untuk JPA melaksanakan Kajian SPPA dalam usaha meningkatkan prestasi perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan mengambil kira tiada semakan semakan sistem saraan secara menyeluruh sejak tahun 2002.

“Segala cadangan penambahbaikan dan pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal Kajian SSPA di https://semakansaraan.jpa.gov.my,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI