fbpx

500 tolak Bantuan Kewangan Haji, beri kepada yang memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na’im (dua dari kiri) ketika berucap di sidang akhbar Majlis Penghargaan TH kepada Jemaah Haji 144H/2023M di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini meraikan hampir 500 jemaah haji musim 1443H dan 1444H yang telah menolak Bantuan Kewangan Haji dalam usaha mendapatkan haji mabrur, selari dengan syarat istito’ah bagi rukun Islam kelima.

Mereka terdiri daripada 67 orang dalam kalangan B40 dan M40 yang menolak bantuan itu secara keseluruhan serta membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850, selain 396 orang pula telah membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada jemaah haji yang memilih untuk membayar penuh atau lebih daripada yang ditetapkan selaras dengan konsep istito’ah yang dituntut syariat.

“Apabila jemaah haji ini menolak bantuan tersebut, secara tidak langsung ini dapat membantu TH dan juga rakan-rakan seagama lain bagi menunaikan haji. Dalam masa sama, ia juga dapat menerapkan kesedaran dan kefahaman dalam jemaah akan konsep kemampuan atau istito’ah dalam menunaikan ibdah haji.

“Dengan pengorbanan jemaah haji bagi kedua-dua tahun ini, diharapkan agar Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh TH boleh disampaikan kepada mereka yang layak dalam kadar jumlah yang munasabah dan ihsan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penghargaan TH kepada Jemaah Haji 144H/2023M di Menara TH Tun Razak, di sini, hari ini.

Seorang daripada jemaah tersebut, penyarah universiti awam, Prof. Dr. Ishak Arif, 57, berkata, keputusannya untuk menolak Bantuan Kewangan Haji adalah kerana menginginkan keberkatan ketika menunaikan ibadah itu.

Ishak.

“Saya percaya, dengan menolak bantuan tersebut, Allah SWT akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Pada waktu itu, saya cuma berharap dengan keputusan ini, proses ibadah haji saya sebelum, semasa dan selepas dipermudahkan Allah SWT.

“Saya sudah mula bekerja dan menyimpan dalam TH sejak berusia 22 tahun. Saya percaya jika kita ada kelebihan, kalau dikongsi bersama, kita tidak akan rugi. Semua ini saya lakukan untuk memperoleh keberkatan haji,” katanya ketika ditemui wartawan Kosmo! pada majlis itu.

Suri rumah, Mazni Kasman, 37, pula berkata, keputusan tersebut diambil setelah hampir dua tahun giliran untuk menunaikan haji bersama suami tertangguh.

Mazni.

“Jika tidak, saya berpeluang tunai haji pada tahun 2020. Tetapi disebabkan pandemik, giliran saya dan suami ditangguh. Jadi, suami saya pasang hajat, jika dapat pergi, kami akan bayar penuh.

“Alhamdulillah pada tahun tersebut, kami ada rezeki lebih dan mampu membayar. Ketika menunaikan haji, saya rasa semuanya aman dan damai. Saya rasa tenang kerana pada waktu itu, bilangan jemaah haji dikurangkan kerana Covid-19,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI