MELAKA – Yayasan AEON Malaysia menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 bagi membantu rakyat Palestin susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.
Setiausaha Agongnya, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan kepada Kementerian Luar bagi membantu rakyat Palestin yang ketika ini berdepan dengan krisis kemanusiaan.
“Peruntukan untuk membantu rakyat Palestin diluluskan baru-baru ini dan kami masih berbincang untuk menambah dana dalam masa terdekat. Bukan sahaja rakyat Palestin dibantu malah Yayasan AEON Malaysia juga akan terus memperkasakan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya bagi keluarga B40.
“Setakat ini kita telah memperuntukan sebanyak RM20 juta sejak 20 tahun yayasan ini diwujudkan bagi membantu warga Malaysia yang memerlukan bantuan,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Pembukaan Semula Pusat Membeli Belah AEON Melaka Ayer Keroh di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE