PETALING JAYA – Seorang wanita yang mendakwa dirinya hamil disebabkan perbuatan pelakon, Aniq Suhair, akhirnya tampil memohon maaf dan mengakui tuduhan tersebut adalah fitnah.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam TikTok, wanita itu yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu, segala tuduhan yang dibuat terhadap pelakon muda itu adalah tidak benar sehingga menjejaskan nama serta karier lakonannya.
“Assalamualaikum. Tolong jangan tanya soalan lanjut. Saya di sini mahu membuat permohonan maaf secara terbuka tentang apa yang telah saya kongsikan dalam TikTok tentang Aniq.
“Saya tiada niat untuk menjatuhkan reputasi dan kerjayanya. Saya minta maaf pada semua, kepada pihak media dan terutama sekali kepada Aniq Suhair.
“Ini satu tindakan tidak wajar terhadap empunya badan (Aniq). Tidak seharusnya saya memuat naik kandungan seperti itu. Sekali lagi saya meminta maaf atas perkara tersebut. Assalamualaikum,” tulis individu terbabit.
Dalam hantaran berbeza, wanita itu turut memberitahu, segala tuduhan yang dilemparkan terhadap pelakon berusia 23 tahun itu adalah tidak benar dan palsu.
“Semua hantaran itu adalah palsu dan tidak benar. Saya minta maaf telah rosakkan reputasi awak,” tulisnya lagi.
Terdahulu, nama Aniq memanas apabila seorang wanita membuat pengakuan hamil hasil hubungan terlarang dengan seorang aktor muda.
Pengakuan dalam TikTok tersebut turut menyiarkan foto-foto Aniq bagi menjelaskan tuduhan yang dibuat kepada pelakon terbabit.
Enggan berdiam diri, Aniq atau nama lengkapnya Aniq Suhair Mohd. Salleh memberitahu sedia untuk mengambil tindakan undang-undang demi menjaga nama baiknya.
Berasakan tuduhan tersebut satu fitnah yang cuma menjatuhkan maruahnya, Aniq berkata sudah menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
“Saya sedia maklum dengan apa yang sedang tular dalam media sosial beberapa hari ini.
“Di sini, saya ingin menyatakan bahawa dakwaan yang dilemparkan adalah satu tindakan berniat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik saya.
“Saya telah pun mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi hak dan menjaga nama baik saya serta keluarga termasuklah memulakan saman,” katanya dalam hantaran Instagram sebentar
Pelakon Journal Sara-haeyo itu juga dinasihatkan mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelak gangguan perjalanan ke di mahkamah.
“Atas nasihat peguam, saya tidak dapat memberikan komen lanjut kerana akan menjejaskan proses undang-undang,” ujarnya. – HIBGLAM